Lelaki ditahan, cabul budak 6 tahun tepi sungai

Suspek ditahan dilokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

MIRI-Keseronokkan sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka melakukan aktiviti riadah memancing di tepi sungai Miri berhampiran Waterfront Miri pada malam Jumaat, bertukar tragedi apabila salah seorang  anak perempuan dilaporkan telah dicabul.


Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, tangkapan dilakukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri awal pagi Sabtu sekitar jam 2.50 pagi.


"Suspek ditangkap di kawasan kaki lima Old Street, Jalan Triangle," ujarnya.


Semasa kejadian, dipercayai mangsa berusia 6 tahun itu telah berjalan ke kawasan berhampiran tanpa disedari ibu bapanya yang ketika itu sedang memancing.


Kehilangan mangsa hanya disedari selepas jeritannya meminta tolong didengari kedua-dua ibu bapanya.


Sejurus mendengar jeritan itu, kedua-dua ibu bapa mangsa telah bergegas ke arah bunyi jeritan tersebut.


Setibanya ke lokasi mangsa, mereka terkejut apabila melihat seorang lelaki yang tidak dikenali sedang memeluk erat mangsa.


Susulan kejadian, ibu mangsa berusia 41 tahun telah tampil membuat satu laporan polis.


Suspek kini sedang ditahan dilokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Next Post Previous Post