-->

Notification

×

Iklan

Iklan

KPDNHEP ambil tindakan tegas pihak sewa lesen ‘Ali Baba’

| Mei 14, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-14T06:33:13Z
KPDNHEP ambil tindakan tegas termasuk batalkan lesen individu yang menjual atau menyewa lesen perniagaan kepada orang asing. Gambar hiasan

KANGAR—Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen ke atas mana-mana individu yang menjual atau menyewa lesen perniagaan runcit secara ‘Ali Baba’ kepada orang asing, khususnya di pekan sempadan.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Azman Mohd Yusof berkata tindakan tidak bertanggungjawab segelintir warga tempatan itu hanya merugikan negara serta menutup ‘periuk nasi’ orang lain semata-mata bagi meraih keuntungan mudah.

Beliau berkata pihaknya mengambil berat kebimbangan yang disuarakan peniaga tempatan pekan sempadan di Kelantan, Kedah dan Perlis terhadap kebanjiran peniaga warga asing selepas pembukaan sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini.

“Bagi peniaga tempatan yang menjual atau menyewa lesen perniagaan mereka kepada warga asing, tindakan pembatalan lesen operasi perniagaan juga boleh dilaksanakan oleh pihak PBT (pihak berkuasa tempatan),” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Azman berkata kerajaan hanya membenarkan warga asing yang memegang pas penggajian kategori satu iaitu bergaji RM10,000 ke atas dan kategori dua (RM5,000 ke atas) untuk membuka perniagaan di negara ini.

“Garis panduan penyertaan asing dalam sektor perdagangan dan pengedaran di Malaysia juga telah menyenaraikan warga asing tidak dibenarkan membuka kedai runcit, gerai dan lain-lain perniagaan kecil,” katanya.

Azman berkata bagi membendung perkara tersebut, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku kementerian yang mengawal selia PBT, selain menjalin kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Kerjasama ini diharap dapat memastikan bahawa tiada peniaga warga asing dibenarkan untuk membuka perniagaan peruncitan kecil di kawasan mereka (PBT),” katanya.

Katanya JIM membantu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuat tapisan awal permohonan perniagaan oleh warga asing bagi memastikan hanya mereka dalam bidang yang dibenarkan sahaja boleh membuka perniagaan di negara ini.

Orang ramai boleh membuat aduan kepada kementerian jika ada warga asing yang membuka perniagaan runcit di kawasan mereka dan aduan di peringkat negeri boleh disalurkan di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP), tambahnya.

-- BERNAMA
×
Berita Terbaru Update