Kes penipuan siber meningkat di Sarawak

Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (dua kanan) melihat pameran sempena Program Kepolisan Komuniti Bersama Masyarakat yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Malihah pagi ini tadi. Gambar kredit Polis Sarawak

KUCHING— Kes penipuan siber di Sarawak mencatatkan 666 kes bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 640 kes bagi tempoh sama tahun lepas.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata golongan pertengahan, pesara, wanita bekerjaya, golongan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi antara menjadi mangsa sindiket penipuan yang dikenali sebagai Macau Scam, Love Scam dan pinjaman tidak wujud itu.


“Kerugian akibat jenayah komersial ini adalah sebanyak RM17.8 juta sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, manakala bagi tempoh sama pada tahun lepas adalah sebanyak RM15.3 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2.5 juta,” katanya ketika merasmikan program Kepolisan Komuniti Kontinjen Sarawak di Taman Malihah di sini hari ini.


Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang meminta nombor akaun bank, butir peribadi mereka atau cuba menawarkan hadiah percuma menerusi panggilan atau pesanan telefon.


"Tidak perlu melayan mana-mana maklumat atau mesej telefon yang tidak ada urusan (dengan kita). Tidak ada benda yang datang secara percuma," katanya.


Dalam pada itu, Mohd Azman berkata kejadian pecah rumah yang dilaporkan di Sarawak pula menunjukkan trend penurunan dengan 213 kes direkodkan pada Januari hingga Mac tahun ini berbanding 348 kes bagi tempoh sama tahun lepas.


Katanya walaupun kejadian jenayah terbabit menunjukkan penurunan, masyarakat diminta supaya terus memberikan kerjasama kepada polis bagi membolehkan kadar jenayah dikurangkan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post