Kerajaan belum tetapkan harga siling penerbangan, Nanta

Nanta Linggi meninjau produk yang dijual sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Gawai 2022 di CCK Fresh Mart di sini, petang tadi.

KUCHING—Masih belum ada penetapan harga siling bagi tiket penerbangan domestik pergi dan balik dari Semenanjung ke Sarawak setakat ini, kata Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.


Menurut Menteri Perdagangan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terbabit, kementeriannya sentiasa mengambil perhatian berhubung isu yang membelenggu pengguna perkhidmatan penerbangan terutama ketika musim perayaan.


Namun katanya, perkara tersebut lebih kepada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bersama-sama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).


Nanta Linggi ketika mengetuai lawatan KPDNHEP ke CCK Fresh Mart di sini, petang tadi.


“Memang ada libat urus dan kami sebagai kementerian yang menjaga hal ehwal pengguna juga mengambil perhatian dan bersama mereka dalam perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu tiket penerbangan domestik yang mahal setiap kali musim perayaan.


Beliau berkata demikian pada sidang media Lawatan Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Gawai 2022 di CCK Fresh Mart di sini, petang tadi.


Sementara itu, berhubung cadangan mengeksport bekalan ayam dari Sarawak, Nanta berkata ia merupakan sesuatu yang baik dan perlu dilakukan khususnya bagi meningkatkan industri penternakan di negara ini.


Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Kapit tersebut, bekalan berkenaan perlu dijamin sentiasa mencukupi kerana keutamaan harus diberikan kepada pengguna tempatan.



“Kalau bekalan ayam ini berlebihan dan boleh dieksport mengapa tidak… ia merupakan salah satu cabang untuk meningkatkan industri penternakan. 


“Cuma janganlah (jika) kita dalam situasi bekalan dalaman tidak cukup, tetapi mengeksport pula... itu kita larang," katanya.


Dalam pada itu kata Nanta, KPDNHEP turut mengadakan mesyuarat bersama-sama pemain industri penternakan ayam Sabtu lalu bagi membincangkan berhubung bekalan ayam di negeri ini. 


Katanya, beliau turut diberi jaminan oleh pemain industri bahawa bekalan ayam di Sarawak tidak menghadapi masalah malah mereka menyatakan bekalan ini sentiasa ada.


Nanta Linggi semasa sidang media di sini hari ini.


Berhubung tinjauan SHMMP hari ini, Nanta berkata, beliau berpuas hati apabila peniaga menjual barangan pada harga rendah berbanding harga siling.


“Harga ayam standard misalnya dijual pada harga RM8.99 sekilogram berbanding harga siling RM9.30.


“Selain ayam dan telur, sebanyak lapan barangan dikawal harga sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Gawai iaitu ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih China, kobis bulat import, cili kering, babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).


“SHMMP Hari Gawai ini akan dilaksanakan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Jun nanti,” katanya.

Next Post Previous Post