KDN persoal tindakan UNHCR beri kad pelarian sewenang-wenangnya

Seramai 704 orang warga asing diperiksa dengan 637 adalah pemegang kad UNHCR. Manakala 51 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India. Gambar kredit Jabatan Imigresen Malaysia

KAPAR—Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) memberikan kad pengesahan pelarian kepada beberapa individu warga Indonesia.


Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata menerusi operasi penguatkuasaan, pihaknya berjaya mengesan beberapa warga Indonesia yang didapati mempunyai memiliki kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa menyertai Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, dekat sini. Gambar kredit Jabatan Imigresen Malaysia


“Macam mana UNCHR mengeluarkan kad sewenang-wenangnya, sehinggakan dengan ada kad ini, seolah-olah sah untuk mereka tinggal dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, dekat sini.


Operasi malam ini menyaksikan daripada 704 warga asing yang diperiksa, 51 pendatang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.


Sementara itu mengulas kegagalan sistem di Pejabat Imigresen Kelana Jaya yang dilaporkan sebuah portal hari ini, Hamzah berkata ia bukan sahaja berlaku di pejabat berkenaan tetapi juga di pejabat imigresen di tempat lain.


“Saya nak maklumkan kepada semua sebenarnya kita gunakan ini (dalam talian) adalah sistem yang lama. Maka sudah tentulah sistem lama dah terlampau ramai, dia ada ‘jammed’ sedikit. Sebab itu kita telah pun ‘award’ kepada satu syarikat sistem yang baharu dan mereka sedang jalan (proses itu) dan insya-Allah tahun 2024 siap semuanya, kita boleh guna sistem yang lebih canggih  dan bagus,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post