Kaunselor MPS dijumpai lemas, kereta terjunam ke dalam sungai


SIBU-- Mayat seorang Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) ditemukan selepas kereta yang dipandunya yang terjun ke dalam Sungai Rajang berjaya diangkat keluar dari sungai berkenaan petang tadi. 


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kereta tersebut berjaya dinaikan dengan bantuan kren pada jam 3.49 petang. 



"Didapati mangsa, Andy Ting King Dieng, 43, masih berada di dalam kenderaan. Pada jam 4.04 petang mangsa telah berjaya dikeluarkan dan disahkan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini. 



Jelasnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Mengulas lanjut, katanya operasi hari kedua melibatkan Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) disertai lapan orang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Terrance Jimbun. 



Jelasnya, aktiviti selaman bermula pada jam 8.57 pagi tadi dalam radius 20 meter dari kawasan kereta dilaporkan terjunam dari kedalaman 3 meter hingga 11 meter. 


"Sebanyak sembilan siri selaman telah dilakukan oleh pasukan penyelam dan pada jam 2.55 petang telah mengesan lokasi kereta tersebut sebelum ia berjaya diangkat keluar," ujarnya. 



Terdahulu, Kawalan BBP Sibu Sentral menerima panggilan terus dari pemanggil yang melaporkan terdapat sebuah kereta yang dipandu mangsa telah terjatuh ke dalam sungai dipercayai berlaku tengah malam tadi. 


Katanya, Komander Operasi melapor, berdasarkan maklumat si pelapor, seorang lelaki (saksi) datang ke kuanter pendaftaran hotel dan memaklumkan sebuah kereta begerak dengan laju lalu melanggar penghadang jalan dan terjunam ke dalam sungai. 



"Merujuk kepada kenyataan saksi, pekerja hotel terus menghubungi pihak bomba. 


"Pihak Bomba bersama pihak polis mendapati besi penghadang jalan telah terjatuh ke dalam sungai dan pasukan bomba melakukan pencarian awal lokasi kenderaan tersebut dengan menggunakan gripping iron bagaimanapun lokasi kenderaan tidak dapat ditemui," katanya lagi.

Next Post Previous Post