HDC Sarawak lulus RM2.3 juta di bawah Skim Bantuan Deposit Perumahan

Dr Sim semasa mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak dan agensi berkaitan sebelum penggulungan perbahasan DUN.

KUCHING— Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak telah meluluskan 318 permohonan yang melibatkan pemberian RM2.3 juta bagi Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS), sehingga hujung bulan lepas.


Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Seri Sim Kui Hian memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri bahawa daripada jumlah itu, 236 pemohon adalah dalam kalangan pembeli rumah HDC dengan nilai RM1.49 juta, manakala 82 pemohon lagi adalaha pembeli rumah pemaju perumahan swasta melibakan nilai RM810,962.


“Di bawah Bajet Sarawak 2022, peruntukan RM10 juta diluluskan melalui kementerian saya bagi Mutiara melaksanakan inisiatif ini, dan kita sasarkan ia memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 pembeli rumah kali pertama di Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan usul terima kasih terhadap ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri.


Beliau berkata kerajaan Sarawak memperkenalkan inisiatif HDAS pada tahun 2021 bagi memacu aktiviti perumahan serta hartanah, yang menyediakan bantuan geran sehingga RM10,000 kepada pemohon yang layak, untuk bayaran deposit pembelian rumah.


Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata sehingga kini 14 pemaju swasta telah mendaftar dan mengambil bahagian dalam inisiatif HDAS.


Merujuk kepada Skim Pinjaman Perumahan Rumah Panjang pula, Sim berkata sejumlah RM47.49 juta telah diagihkan, yang memberi manfaat kepada 76 rumah panjang, melibatkan 1,608 isi rumah.


Beliau berkata selain itu Kerajaan Persekutuan telah menyumbang RM10 juta bagi program ini pada tahun 2021, yang memberi manfaat kepada 320 isi rumah.


“Ketika ini 301 rumah panjang yang melibatkan 6,173 isi rumah berada dalam senarai menunggu dan kementerian saya akan terus memohon lebih banyak pembiayaan daripada kerajaan Persekutuan bagi kesinambungan skim ini,” katanya dan menambah kerajaan Sarawak telah meluluskan belanjawan tahunan bernilai RM50 juta bagi pelaksanaan skim berkenaan.


Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata Kerajaan Sarawak membelanjakan RM2.4 juta di bawah Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP) bagi meringankan beban kos perubatan dan rawatan 130 pesakit sejak dua tahun lepas.


Beliau berkata ia merangkumi bantuan klinikal seperti pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF), suntikan Erythropoietin (EPO), rawatan hemodialisis dan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).


“Melalui inisiatif ini, kerajaan Sarawak juga memperuntukkan sejumlah RM249,000 bagi pembelian enam unit mesin hemodialisis, dengan dua unit ditempatkan di Pusat Jantung Sarawak dan masing-masing seunit di Hospital Marudi, Hospital Saratok, Hospital Dalat dan Hospital Sarikei,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih terhadap ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.


Beliau berkata kementeriannya juga menyalurkan Bantuan Perubatan berjumlah RM432,429 sejak Oktober tahun lepas kepada sembilan pesakit untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos perubatan bagi apa-apa jenis penyakit yang telah disahkan pegawai perubatan kerajaan untuk rawatan segera.


“Bantuan ini bersifat “sekali bayar”, dan jenis bantuan merangkumi kos pembedahan dan implan, pembelian peralatan perubatan, ubat-ubatan serta lain-lain bantuan yang wajar bagi tujuan rawatan, pemulihan dan penyembuhan,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post