Enam 'Superman' Kuching tersungkur, ditahan semasa Op Samseng Jalanan
![]() |
Enam ‘superman’ dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut. Gambar IPD Kuching |
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, enam lelaki tempatan itu berumur antara 17 tahun hingga
24 tahun telah ditahan di bahu Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub.
"Kesemua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut kerana melakukan aksi 'Superman' (mengangkat kedua – dua belah kaki lurus ke belakang) dan juga aksi menundukkan badan serta bersaing sesama sendiri dengan cara tunggangan yang amat membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya kesemua enam suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ahsmon memberitahu sebanyak 53 kenderaan dan 60 orang telah diperiksa dalam operasi tersebut.
Jelasnya, operasi yang bermula jam 11 malam Sabtu itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuching.
"Operasi berakhir pada jam 9.00 pagi ini setelah selesai proses dokumentasi.
"Operasi diketuai oleh Inspektor Ngang Kalimpot bersama 16 anggota BSPTD Kuching, 16 anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Kuching dan 7 anggota Balai Polis Gita.
Tujuan operasi ini dijalankan bagi mencegah dan membanteras samseng jalanan yang memandu atau menunggang kenderaan secara melulu dan berbahaya," ujarnya.
Menurutnya lagi, sebanyak 176 keping saman [PDRM (k) 257] pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
Antaranya jelasnya, tiada lesen memandu 18 keping, tiada nombor pendaftaran 23 keping, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan 21 keping, tiada perlindungan insuran 1 keping, gagal tunjuk lesen 4 keping, tidak pamer cukai jalan 3 keping, cukai jalan tamat tempoh 5 keping, tidak pamer huruf ‘p’ (hadapan) 7 keping, ubah suai ekzos 16 keping, ubah suai struktur peralatan kenderaan 31 keping, hon tidak berfungsi 8 keping, brek tidak berfungsi dengan baik 4 keping, aksesori tidak sempurna 5 keping dan tiada cermin sisi 30 keping.
"Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara berbahaya dalam usaha untuk
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini," tegasnya.