DUN Sarawak lulus Pindaan Kanun Tanah beri lebih kuasa kawal ruang udara


KUCHING—Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022, yang menukar definisi “tanah” di bawah Kanun itu bagi memberi kuasa kerajaan negeri untuk mengawal ruang udara dan segala harta benda di permukaan tanah itu.

Pindaan itu turut membolehkan kerajaan negeri mengawal selia penggunaan tanah, darat dan pesisir, di samping dasar laut yang membentuk pentas benua Sarawak untuk pengurusan dan penyimpanan karbon dioksida atau lain gas rumah hijau lain.

“Takrifan baharu bagi istilah “tanah” (dalam Kanun Tanah) adalah sejajar dengan yang terdapat dalam perundangan Malaysia yang lain seperti Kanun Tanah Negara,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963, Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Semasa membentangkan RUU beliau berkata definisi baharu itu akan menjadikan bahagian ruang udara di atas tanah sebagai sebahagian daripada tanah, manakala kawalan negeri terhadap ruang udara itu termasuk sebarang perkara termasuk spektrum.

“Pindaan ini membolehkan kerajaan negeri memastikan spektrum ruang udara di negeri ini dikawal dan digunakan selaras dengan rancangan menambah baik infrastruktur telekomunikasi bagi menyokong transformasi ekonomi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030,” katanya.

Sharifah Hasidah berkata pindaan terhadap penggunaan tanah bagi penyimpanan dan pengurusan karbon dioksida akan menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang memerlukan industri mematuhi keperluan antarabangsa untuk mengurangkan karbon.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Perancang Negeri Sarawak (SPA) akan diberi kuasa untuk meluluskan dan mengeluarkan lesen bagi tapak yang akan digunakan untuk penyimpanan karbon, yang boleh berada di darat atau luar pesisir Sarawak di pentas benua dalam sempadan negeri itu.

“Dengan adanya RUU ini, pelabur asing akan mendapati Sarawak destinasi pelaburan baik yang menyediakan kemudahan atau tapak yang dikawal selia dengan baik, bagi mereka mematuhi undang-undang antarabangsa mengenai pengurangan pelepasan karbon dioksida,” tambahnya.

Sementara itu, persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini memilih Datuk Ahmad Ibrahim sebagai Senator bagi menggantikan Datuk Zaeidy Suhaili yang tamat tempoh sebagai ahli Dewan Negara pada 18 Julai ini.

Sidang DUN akan bersambung esok.

-- BERNAMA   
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.