Ambil langkah berjaga-jaga berikutan cuaca semakin panas, elak strok haba

Sentiasa meminum air yang mencukupi. Gambar hiasan kredit unsplash

KUALA LUMPUR—Berikutan peningkatan suhu dan cuaca yang semakin panas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada mengalami strok haba.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau mencadangkan orang ramai supaya sentiasa meminum air yang mencukupi, mengelak daripada melakukan senaman yang sukar dan tidak perlu, berada di kawasan yang lebih nyaman dan redup selain daripada memantau simptom keletihan kerana kepanasan dan strok haba.

Dalam hantaran itu, Dr Noor Hisham juga berkongsi langkah yang boleh diambil jika didapati ada simptom keletihan dan strok haba termasuk berada di kawasan yang lebih sejuk atau dilengkapi penyaman udara dan mandi air sejuk atau gunakan jaram sejuk.

Beliau juga berkongsi sebuah poster mengenai kuantiti air yang diperlukan tubuh manusia ketika peningkatan suhu dan cuaca yang semakin panas berasaskan berat badan seseorang daripada 45 kilogram (kg) yang memerlukan 1.9 liter air kepada 90 kg yang memerlukan 3.9 liter air.

 Dr Noor Hisham berkata orang awam boleh menghubungi talian 911 jika mereka mengalami sebarang simptom dan perlu bertindak segera untuk menyejukkan tubuh pesakit sehingga bantuan tiba.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.