AirAsia lancarkan pelan langganan SUPER+ mudahkan penerbangan



KUALA LUMPUR-- Sempadan negara sudah dibuka semula sejak lebih dari sebulan dan orang ramai terutamanya, pengguna setia syarikat penerbangan kini boleh menggunakan aplikasi super AirAsia, pelan langganan SUPER+, yang dahulunya dikenali sebagai ‘pas tidak terhad’ untuk melawat orang tersayang atau melancong.

Ketua SUPER+, Sean Ter berkata pelan langganan SUPER+ akan membolehkan pelanggan menikmati tiga faedah utama yang merangkumi penerbangan tanpa had, penghantaran percuma tanpa had membabitkan pesanan makanan AirAsia dan liputan insurans pra-keberangkatan Covid-19, yang akan membolehkan mereka memohon faedah insurans jika mereka terkena virus Covid-19 dalam tempoh tujuh hari daripada jadual penerbangan mereka.

“Pelan ini membolehkan mereka meneroka destinasi yang mereka rindukan sejak dua tahun lepas selain memberikan nilai terbaik dalam penghantaran percuma tanpa had pesanan makanan AirAsia di seluruh negara serta lokasi (Lembah Klang, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Seremban , Melaka, Johor Bahru, Ipoh, Kota Bharu, Kuching dan Miri).

"Mereka yang melanggan pelan ini boleh terbang ke mana -mana dengan penebusan penerbangan tanpa had di semua syarikat penerbangan AirAsia merangkumi destinasi domestik dan antarabangsa dengan penerbangan terpilih serta tanpa had (Kod penerbangan AK, FD, QZ, Z2)," katanya kepada Bernama.

Beliau juga memberitahu syarikat itu sentiasa meneroka bagi menambah lebih banyak ciri lain, termasuk diskaun pada airasia Ride, airasia Xpress serta banyak lagi yang akan diumumkan kemudian.

Ahli perniagaan, Rizawani Fiona Heng, 42, berkata beliau telah menggunakan perkhidmatan AirAsia sejak penubuhan syarikat penerbangan itu dan sekarang melanggan pelan SUPER+ yang membolehkan beliau terbang dengan lebih kerap untuk bercuti atau membuat perjalanan sehari.

"Saya amat suka untuk terbang dan melancong, dengan SUPER+ airasia, ia menjadikan semuanya mudah kerana saya terbang setiap bulan serta ini membolehkan saya mendapat harga yang lebih berpatutan, walaupun airasia kadang-kadang menggubah jadual penerbangan mereka tetapi saya diberikan masa yang fleksibel untuk menukar perjalanan saya.

"Sebagai ibu kepada lima anak, saya memegang tanggungjawab sebagai penjaga dan perjalanan luar negeri biasanya merupakan cabaran kepada saya tetapi dengan harga pelan yang berpatutan, saya membelinya untuk seluruh keluarga saya termasuk pembantu rumah saya sendiri," katanya kepada Bernama.

Wanita kelahiran Sabah ini juga mengakui sudah membuat perjalanan ke seluruh Malaysia dan sejak sempadan dibuka semula, beliau berasa lega kerana tidak lagi perlu menempuh ujian Covid atau kuarantin, beliau juga sudah menempah penerbangan ke Singapura, Bangkok dan Manila pada tahun ini.

Rizawani baru-baru ini telah membuat penerbangan ke Kuching, Sarawak hanya untuk makan tengah hari serta berurut melalui pelan SUPER+ airasia.

Sementara itu, bekas pejuang seni mempertahankan diri bercampur (MMA), Allen Solomon Chong, 40, yang kini menjadi pengurus projek dari Bangsar Heights Pavilion berkata beliau terbang hampir setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Sabah untuk bertemu dengan keluarganya dengan opsyen yang lebih munasabah melalui SUPER+ airasia yang membolehkan beliau melakukan perjalanan tanpa sebarang kos tersembunyi.

"Saya tidak mempunyai pilihan selain terpaksa terbang setiap minggu disebabkan sifat pekerjaan saya, saya bekerja di Kuala Lumpur, manakala keluarga berada di Sabah, saya terpaksa berulang-alik bagi menjenguk dan menghabiskan masa yang berkualiti dengan mereka terutamanya anak -anak saya kerana mereka masih kecil dalam lingkungan umur satu hingga lapan tahun.

"Kadang-kadang ia amat mengecewakan kerana terpaksa berulang-alik selain cabaran penerbangan dijadualkan semula tetapi pada penghujung hari, ia amat berbaloi kerana saya dapat melihat anak -anak serta dengan sistem sembang 'Airasia Virtual Allstar' (AVA) juga banyak membantu sekiranya saya ada pertanyaan dan membuat perkara lebih mudah sepanjang masa," katanya.
 
Bapa dari empat orang anak ini juga memberitahu beliau telah terbang dengan AirAsia selama hampir empat tahun walaupun pandemik, beliau mengakui ada kelemahan serta kelebihan tetapi melahirkan rasa puas hati dengan keseluruhan perkhidmatan AirAsia.


--BERNAMA

Next Post Previous Post