Agong, Raja Permaisuri ucap selamat menyambut Pesta Kaamatan

Gambar Istana Negara

KUALA LUMPUR— Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada semua yang meraikan perayaan itu di Sabah hari ini.


Istana Negara menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi menyatakan Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar perayaan yang bermakna kepada masyarakat Kadazandusun itu akan terus menyemarakkan keharmonian antara kaum dan memperkukuhkan perpaduan di Malaysia.


Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan semoga ia akan membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kedamaian serta kebahagiaan kepada semua yang menyambutnya.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Selamat Menyambut Pesta Kaamatan,” menurut hantaran itu.


Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut masyarakat Kadazandusun di Sabah hari ini dan esok, sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.