Warga emas dari Sarawak didakwa lakukan persetubuhan luar tabii dengan kucing

Tertuduh berasal dari Sarawak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan seekor kucing. Gambar kredit Harian Metro

JOHOR BAHRU— Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan seekor kucing.

Bagaimanapun, hukuman ke atas tertuduh, 63 belum diputuskan memandangkan pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan untuk serahan dokumen pada 25 Mei ini.

Dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan seekor kucing sehingga menyebabkan kucing itu mati.

Warga emas itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan taman permainan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada 4.30 pagi 16 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S.Thiviya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia tidak bekerja.

Dia juga mendakwa berasal dari Sarawak dan baru datang ke Johor dan tinggal bersama anaknya di sini.

Hakim Fatimah Zahari kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei depan untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.