Suspek rogol gadis bawah umur dan OKU ditahan

Gambar hiasan

SIBU— Polis Sibu memberkas dua lelaki kerana disyaki merogol dua gadis bawah umur dalam dua kes yang dilaporkan secara berasingan di sini, minggu ini.

Memetik Suara Sarawak, Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superitendan Dr Collin Babat ketika dihubungi berkata, kedua-dua suspek merupakan warga emas berusia berusia 60 tahun dan 30 tahun.

Bagi mangsa pula katanya, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 14 tahun termasuk seorang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

“Dalam kes pertama yang melibatkan suspek warga emas itu, kejadian dipercayai berlaku pada Disember tahun lalu.

“Ini susulan selepas ibubapa mangsa membuat laporan polis pada 1 April lepas setelah mendapati anak gadis mereka mengandung,” ujar beliau.

Collin berkata, suspek dipercayai mengambil kesempatan melakukan perbuatan keji itu semasa ahli keluarga mangsa tiada di rumah di Lebaan, Batang Igan.

Beliau menambah, kejadian itu disedari oleh ibubapa mangsa apabila anak gadis mereka menunjukkan kelakuan aneh dan mengalami perubahan bentuk fizikalnya sebelum membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

“Ibu bapa mangsa yang terkejut selepas anak mereka disahkan mengandung kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan pada 1 April lalu.

“Kita juga difahamkan suspek merupakan jiran mangsa,” katanya sambil menambah suspek kemudiannya ditahan pada hari yang sama.

Sementara itu dalam kes yang berasingan, Collin memberitahu, ia dilaporkan pada 4 April lalu yang mana mangsa dipercayai telah dirogol dua kali oleh suspek berusia 30 tahun itu.

“Kejadian berlaku pada 2 dan 4 April di dalam kereta bertempat di Jalan Ding Lik Kong. Difahamkan mangsa baru sahaja mengenali suspek selama dua minggu,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Collin mendedahkan suspek warga emas terbabit telah direman selama tujuh hari sehingga 9 April ini manakala suspek kes kedua direman sehingga 12 April ini.

“Ini bagi membantu siasatan kedua-dua kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” kata beliau.
Next Post Previous Post