Siapkan projek ikut jadual, jangan ulangi kesilapan kontraktor lama -Dr Sim


KUCHING: Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian berharap kontraktor baharu yang dilantik bagi projek taman Tebingan Sungai Batu Kawa Fasa 5 Kampung Rantau Panjang menyiapkan projek tersebut mengikut jadual ditetapkan.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, projek yang bernilai RM11.3 juta itu di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.

"Kontraktor pertama (lama) telah ditamatkan kerana gagal memulakan projek selepas setahun yang diperolehi secara tender terbuka dengan nilai RM7.8 juta.

"Dan terkini saya menyaksikan penyerahan kontrak RM11.3 juta yang diserahkan oleh Pengarah DID Sarawak Ir Ahmad Denney kepada kontraktor kedua (baharu) selepas berjaya mendapatkan projek tersebut menerusi tender terbuka (kali kedua)," katanya menerusi hantaran Facebook rasminya hari ini.

 
Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa memberitahu, kontraktor baharu telah memberi jaminan akan memulakan projek tersebut dengan segera.

"Kontraktor baharu memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan dan pembayaran untuk bahan binaan yang diimport dan dijangka sampai dalam masa tiga hingga empat bulan," ujarnya.

Justeru, beliau berharap kontraktor baharu dapat mengejar masa untuk menyiapkan projek fasa kelima itu yang merupakan fasa terakhir untuk taman Tebingan Sungai Batu Kawa tersebut.
Next Post Previous Post