Sarawak perlu tingkatkan usaha capai sasaran 60 peratus pelajar STEM

Datuk Roland Sagah Wee (duduk tengah) semasa  majlis Penangguhan Bengkel Peningkatan Pengajian Abad Ke-21 Untuk Guru Matematik & Sains Sekolah Rendah Daerah Song Fasa 3 bertempat di Sibu. Gambar kredit UKAS

SIBU—Sarawak melipatgandakan usaha untuk mencapai sasaran 60 peratus pelajar memasuki pakej Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjelang 2030 sebagaimana dirancang di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata kemasukan semasa pelajar pakej tersebut hanya kira-kira 30 peratus, meningkat sedikit berbanding tahun lepas.

"Bilangan pendaftaran yang lebih kecil dalam kelas pakej STEM di peringkat Tingkatan Empat dan Lima  bermakna bilangan penyertaan yang lebih kecil ke dalam kursus teknikal dan STEM dalam pendidikan tinggi," katanya berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Pembelajaran Abad Ke-21 Guru-guru Sains dan Matematik (DLP) Sekolah Rendah Daerah Song Fasa Tiga 2022 di sini hari ini.

Sagah turut meminta semua pihak bekerjasama untuk mewujudkan rangkaian pembelajaran yang memberi manfaat kepada semua orang.

"Pelbagai pihak berkepentingan mempunyai peranan untuk menyokong pendidikan STEM. Mencipta ekosistem pendidikan STEM yang mampan adalah tanggungjawab masyarakat secara keseluruhan, peranan utama dalam membolehkan serta menggalakkan pelajar kita menjadi aktif dalam pendidikan STEM," katanya.

Menurutnya pendidikan STEM adalah elemen penting dalam memastikan pembangunan dan kemajuan berterusan pada masa akan datang.

Sarawak katanya memerlukan kepakaran teknikal bukan sahaja dalam pengkomputeran tetapi juga dalam bidang mata pelajaran lain untuk memacu ekonomi digital dan pertaniannya yang memerlukan sekumpulan besar bakat dengan latar belakang STEM yang kukuh.

Beliau turut menyeru para guru supaya memperbaharui dan mengukuhkan kemahiran pengajaran mereka dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dan mengaplikasikannya dengan bijak dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post