Sabah kembali catat kluster baharu institusi pendidikan

Gambar hiasan

KOTA KINABALU-- Hampir dua bulan tidak merekodkan kluster, Sabah hari ini kembali mencatatkan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Segama Lahad Datu melibatkan seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster institusi pendidikan melibatkan pelajar tingkatan empat itu disahkan positif COVID-19 pada 18 April lepas.

"Saringan kontak rapat mendapati 38 pelajar lagi telah dijangkiti, menjadikan jumlah yang positif seramai 39 orang dan mereka telah diasingkan untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 negeri berkata berikutan kluster baharu itu, jumlah kes positif COVID-19 hari ini bertambah kepada 149 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 370,366 kes dengan satu kematian.

Selain itu jumlah daerah yang mencatatkan pertambahan kes baharu juga meningkat kepada 17 daerah hari ini berbanding lapan daerah semalam.

"Seramai 141 orang daripada 149 pesakit baharu hari ini adalah dalam kategori satu dan kategori dua, empat orang dalam kategori tiga, dua orang dalam kategori empat, dan seorang pesakit dalam kategori lima manakala satu lagi kes melibatkan kematian di Sandakan," katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.