100 terima bantuan Hari Raya di Miri

Mohd Razi (tengah) memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada salah seorang penerima semasa majlis Sejambak Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini semalam.

MIRI—Seramai 100 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dari bahagian Miri masing-masing telah menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang diagihkan melalui program Sejambak Kasih di sini semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohd Razi Sitam.

Beliau dalam ucapannya berkata, program ini bertujuan meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan selain meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Para penerima bukan sahaja menerima wang tunai RM100, tetapi turut membawa pulang bakul makanan. Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, sumbangan wang tunai akan dikreditkan ke akaun masing-masing,” katanya pada majlis yang berlangsung di Hotel Dynasty dekat sini.

Mohd Razi menambah, dari Januari hingga Mac 2022, JKMS telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM61,048,620.00 kepada 51,003 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 15,318 orang atau 30.3 peratus daripada jumlah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri.

“Bagi Bahagian Miri, Pejabat Kebajikan Masyarakat bahagian ini telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM5,262,350.00 untuk 4,155 orang penerima bantuan bulanan bagi bulan Mac 2022,” katanya.

Sehubungan itu Mohd Razi berkata rakyat patut bersyukur dan berterima kasih kerana Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti tidak pernah mengabaikan masyarakat yang memerlukan.

Malah katanya, jumlah dan bentuk bantuan kepada rakyat Sarawak terus ditambah baik dari tahun ke tahun.
Next Post Previous Post