Rogol kanak-kanak OKU, lelaki dipenjara 30 tahun, 12 sebatan


SIBU: Padah rogol kanak-kanak kelainan upaya (OKU), seorang warga emas lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Marutin Pagan terhadap tertuduh Kilat Sasing, 60, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol seorang kanak-kanak OKU berkenaan.

Hakim Marutin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta empat sebatan bagi setiap pertuduhan berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini.


Kilat ketika merayu dikenakan hukuman ringan serta kesal dengan perbuatannya dan memaklumkan mahkamah bahawa dia menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis selain perlu berjumpa doktor dan ke klinik mengambil ubat.

Selain itu, tertuduh dalam rayuannya juga memberitahu, dia menyara anaknya yang tidak bekerja selain isterinya menghidap ketumbuhan dalam otak.

Selain itu, Kilat juga merayu agar tidak dikenakan hukuman sebat memandangkan dia berusia 60 tahun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Heng Yi Min meminta mahkamah agar hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan dia mengambil kesempatan terhadap mangsa kurang upaya serta lembam.

Mengikut pertuduhan pertama, Kilat didakwa merogol seorang kanak-kanak OKU berusia 13 tahun empat bulan di sebuah bilik rumah panjang, Sungai Apong sekitar November 2021 antara jam 1 hingga 3 petang.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa merogol mangsa sama sekitar Disember 2021 antara jam 1 hingga 3 petang di tempat yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun berserta sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pada 27 Mac 2022, kira-kira jam 7 malam, pengadu yang juga ibu kepada mangsa mendapati mangsa hilang selera makan serta sering muntah.

Pengadu mengesyaki mangsa mengandung dan meminta mangsa melakukan ujian kehamilan, di mana keputusan adalah positif.

Mangsa kemudian memberitahu dia dirogol oleh tertuduh sebelum pengadu tampil membuat laporan polis.

Berikutan laporan itu, tertuduh ditahan di pekarangan Balai Polis Pusat Sibu pada 1 April 2022, kira-kira jam 1.30 petang.

Dalam pada itu, siasatan mendapati mangsa dan tertuduh tinggal berjiran di rumah panjang sama, di mana kejadian rogol itu berlaku di bilik milik abang ipar tertuduh.

Selain itu, mangsa yang mengenali tertuduh juga ingat tertuduh merogolnya sekali pada November 2021 dan dua kali pada Disember 2021.
Next Post Previous Post