Remaja perempuan tipu diragut elak didenda hilang MyKad


KUALA LUMPUR—Gara-gara mahu mengelak daripada didenda kerana hilang kad pengenalan, seorang remaja perempuan sanggup membuat laporan palsu mendakwa dia diragut.

Remaja berusia 18 tahun itu mendakwa diragut di Jalan Puteri 1/6, Bandar Puteri Puchong, Puchong  oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal semasa berjalan kaki. 

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A  Anbalagan berkata hasil siasatan mendapati remaja tersebut membuat laporan palsu dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. 

“Remaja tersebut telah dituduh hari ini di Mahkamah Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. 

Anbalagan berkata pihaknya menerima 14 kes laporan palsu dengan 12 kes telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan pada tahun lepas. 

Katanya sebanyak tiga kes melibatkan laporan palsu diterima pihaknya tahun ini dengan dua sudah dituduh di mahkamah. 

“Kita menasihatkan orang ramai tidak membuat laporan polis palsu dengan mengambil jalan mudah bagi mengelakkan diri daripada dikenakan denda,” katanya. 

-- BERNAMA
Next Post Previous Post