Remaja perempuan dari Tatau sanggup datang ke Bau untuk jual judi online


BAU--Seorang remaja perempuan dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan judi dalam talian yang berselindung di sebalik kedai makan di Siniawan Sentral, di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 18 tahun itu berasal dari Tatau, ditangkap sekitar jam 12.30 tengah hari dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau. 


"Remaja perempuan terbabit ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan judi dalam talian di premis berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Poge, polis turut merampas seunit telefon pintar jenama Redmi warna hitam, sekeping simkad Celcom dan sejumlah wang tunai. 


Tegasnya, suspek dan barang rampasan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selain itu, beliau memberitahu, remaja perempuan terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. 

 
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara," ujarnya.
Next Post Previous Post