Budak lelaki 12 tahun rentung, seorang lelaki warga emas melecur


MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun rentung selepas dipercayai gagal keluar menyelamatkan diri dari rumahnya yang terbakar di Kampung Masjid, Kuala Baram di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, Muhd Ikram Abdullah ditemui rentung di bawah timbunan zink di kawasan bawah rumah kediaman mereka yang terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang tadi.

Katanya, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan balai bantuan, BBP Miri dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan sebuah rumah separuh kekal struktur binaan kayu pada dinding dan lantai, beratap zink dengan keluasan 30 kaki panjang x 30 kaki lebar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut PGO, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran 300 kaki, dua 'dividing breeching', dua pancutan dan dua aliran 'hose reel'.

Komader Operasi melaporkan terdapat seorang mangsa lelaki, Saban Mangkir, 60 telah melecur 30 peratus di bahagian belakang badan akibat insiden itu, katanya.

"Gerakan mencari dan menyelamat membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai rentung di bawah timbunan zink di kawasan bawah rumah.

"Sementara itu, enam penghuni lain dilaporkan selamat dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.21 petang," katanya.

Setakat laporan ini ditulis, operasi 'overhaul' masih dijalankan sehingga keadaan benar-benar selamat dan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. 
Next Post Previous Post