Polis minta orang ramai kehilangan ahli keluarga lelaki tampil bagi membantu siasatan

Kredit gambar JPBM

SERIAN--Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan.

Ia susulan satu insiden kemalangan maut dilaporkan berlaku hari ini berkenaan penemuan jasad seorang lelaki terbaring di atas transfomer Kampung Semukoi A, Tiang No 99 Jalan Balai Ringin, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis yang mengesahkan perkara itu memaklumkan pihaknya telah menerima laporan daripada juruteknik sesco berhubung kejadian pada jam 9.13 pagi.

 
"Setibanya di lokasi itu, terdapat seorang lelaki berpakaian seluar jean berwarna biru dan baju berwarna hijau terbaring di platformer transformer itu.

"Lelaki tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Hospital Serian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu kata Aswandy, siasatan awal menunjukkan tiada sebarang kejadian jenayah yang berlaku di kawasan terbabit manakala laki itu disyaki meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik.

Lelaki itu katanya, dipercayai telah menceroboh kawasan transformer berdasarkan pertemuan peralatan seperti pemutar skru, gergaji dan spana. 


"Mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Serian untuk siasatan lanjut manakala tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat lelaki tersebut.

"Kes masih lagi dalam sisatan pihak polis dan setakat ini, kes diklasifikasi sebagai Kes Kematian Mengejut," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, pihak polis menyeru kepada sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga agar datang ke Balai Polis Serian untuk membuat pengecaman mayat lelaki tersebut.
Next Post Previous Post