Polis kesan wanita larikan gelang emas bernilai RM10,000

Tangkap layar seorang wanita yang melarikan seutas gelang tangan emas dari sebuah kedai emas di Kuala Pilah yang tular di media sosial. Gambar tular

SEREMBAN—Polis sedang mengesan seorang wanita yang melarikan seutas gelang emas bernilai anggaran RM10,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah, Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata pihaknya menerima laporan polis daripada jurujual kedai berkenaan pada pukul 8.18 malam tadi.

"Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu, seorang wanita berusia dalam lingkungan 30an telah melarikan seutas gelang tangan emas seberat 36.76 gram.

"Wanita itu telah dibantu oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah tanpa nombor pendaftaran untuk melarikan diri selepas kejadian terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang memburu suspek.

Amran berkata anggota masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, visual wajah suspek yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) telah tular di Facebook.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.