PGA7 rampas tiga tan karkas babi hutan cuba diseludup

Sebanyak 3,000 kilogram (kg) karkas babi hutan cuba di seludup ke negara jiran berjaya dirampas. Gambar kredit PGA

KOTA BHARU—Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) mematahkan cubaan menyeludup keluar 3,000 kilogram (kg) karkas babi hutan ke negara jiran hasil serbuan di sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti penyeludupan karkas babi hutan yang disalurkan oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman pada 7.20 malam.

"Hasil daripada pemerhatian selama 30 minit, anggota PGA7 telah mengesan beberapa individu dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah barang dari sebuah lori ke dalam bot di sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Anggota PGA7 telah bertindak membuat pemeriksaaan di lokasi tersebut dan berjaya menahan empat lelaki berumur antara 20 hingga 44 tahun bersama lori jenis Hino berwarna putih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan berkenaan telah menemukan sejumlah 3,000 kg karkas babi hutan dengan anggaran nilai pasaran RM75,000 yang dipercayai cuba dibawa keluar secara haram dengan menggunakan bot ke Thailand. 

"Nilai rampasan keseluruhan melibatkan rampasan sebuah lori dan karkas babi hutan dianggarkan berjumlah RM155,000.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor bagi tujuan laporan polis dan tindakan lanjut oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan,” katanya.

Azhari berkata dalam operasi berasingan, pihaknya telah menahan dua lelaki yang membawa tiga ekor lembu di Kampung Neting, Pengkalan Kubor pada 9.45 malam.

Katanya kes dikesan ketika anggota PGA7 yang melakukan rondaan telah mengarahkan lori itu berhenti untuk pemeriksaan kerana dilihat mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori dipandu oleh seorang lelaki berumur 50 tahun bersama kelindannya yang berumur 23 tahun telah menemukan tiga ekor lembu yang dipercayai cuba dipindah keluar ke destinasi lain. 

“Pemandu kenderaan gagal mengemukakan sebarang dokumen dan permit berkaitan kebenaran pindah keluar haiwan daripada Jabatan Vaterinar. Kedua-dua individu berkenaan telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpangan bagi tindakan lanjut pihak Jabatan Veterinar,” katanya.

Beliau berkata lori dan lembu yang dirampas dianggarkan bernilai RM37,600.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post