Pengebumian jenazah Meriammah diuruskan hari ini


SARIKEI—Jenazah rakyat Sarawak, Meriammah Abdullah Basam, 29, iaitu mangsa kes bunuh yang berlaku di Seremban Mac lalu, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, PJS 7, Petaling Jaya hari ini.

Mengesahkan perkara tersebut, ipar kepada arwah, Nadia Zaini, 32, berkata jenazah arwah akan dikebumikan di tanah perkuburan tersebut sekitar jam 11 pagi nanti.

Katanya, usaha untuk membawa pulang jenazah arwah ke Sarawak tidak dapat dilaksanakan disebabkan jenazah sebelum ini disahkan positif Covid-19.

"Namun begitu, kami bersyukur kerana ada pihak yang bermurah hati daripada Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih (PSSK) akan membantu menguruskan jenazah arwah.

"Mereka akan membantu menuntut jenazah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) hingga ke proses pengebumian," katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Menurut Nadia, ibu arwah bersama abang dan anak buahnya telah bertolak ke Petaling Jaya semalam manakala ayahnya tidak dapat pergi ke sana disebabkan tidak berdaya untuk bergerak.

"Ayah arwah memang ingin pergi ke sana untuk bersama-sama menguruskan jenazah anaknya.

"Namun disebabkan tidak mampu dan ayah juga sekarang menggunakan kerusi roda untuk bergerak, dia tidak dapat pergi ke Petaling Jaya," katanya lagi.

Memetik laporan Berita Harian, Pengasas PSSK, Shahrol Muhamad berkata pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada pihak polis bagi menguruskan jenazah wanita itu bagi urusan pengebumian.

Semua kos pengangkutan dan pengurusan pengebumian akan ditanggung oleh PSSK dan pihaknya akan menjalankan proses pengebumian mengikut prosedur yang ditetapkan, katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, terkejut selepas menemui mayat di kawasan gaung.

Susulan penemuan, pada 13 April 2022, suspek utama, Khalid Redza Shuib, 41 dan anak perempuannya yang berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Khalid turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, pada tarikh antara 15 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama dia dituduh membunuh Hanan Hasrul Izwan, 5, di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban.
Next Post Previous Post