Penganggur ditahan miliki 1,130 pil psikotropik

Suspek ditahan di belakang Terminal Bas Jalan Setiaraja petang Jumaat. Gambar PDRM Mukah

MUKAH—Seorang penganggur berusia 32 tahun ditahan di kawasan belakang Terminal Bas Jalan Setiaraja kerana memiliki 1,130 pil psikotropik sekitar jam 1.40 petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Rampasan pil psikotropik dianggarkan bernilai RM2,260. Gambar PDRM Mukah

“Sejurus menghampiri suspek, anggota polis memperkenalkan diri lalu menunjukkan kad kuasa polis terhadap suspek.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek telah merampas satu bungkusan plastik berwarna putih bertulis "Pos Laju" yang dalamnya mengandungi satu botol plastik putih yang mengandungi 1,130 pil psikotropik," ujar beliau.

Gambar PDRM Mukah

Nilai Keseluruhan pil psikotropik itu menurutnya dianggarkan bernilai RM2,260.

Muhamad berkata, suspek beserta dadah yang dirampas kemudiannya dibawa ke Pejabat BSJND IPD Mukah dan akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati beliau negatif mengambil sebarang jenis dadah.

Sabit kesalahan, suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.
Next Post Previous Post