Pelitup muka wajib di kawasan tertutup sekolah namun ada pengecualian

Gambar hiasan

PUTRAJAYA—Pelitup muka masih wajib dipakai ketika berada di kawasan tertutup dalam premis sekolah kecuali dalam situasi tertentu berkuat kuasa 1 Mei ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata pengecualian pemakaian pelitup muka antara lain adalah ketika bersendirian, ketika guru mengajar dalam kelas, individu berkeperluan khas, individu yang mengalami masalah pernafasan, semasa melakukan aktiviti sukan dan rekreasi dan melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

“Pemakaian pelitup muka adalah digalakkan ketika berada di luar bangunan dan kawasan terbuka dalam premis sekolah atau ketika sedang melakukan aktiviti secara berkumpulan,” katanya pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di sini hari ini.

Ia susulan pengumuman kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam, antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan, selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

Radzi berkata penjarakan fizikal yang menetapkan jarak satu meter antara satu meja dengan meja yang lain sebelum ini, dimansuhkan.

“Keberadaan satu meter ini telah menimbulkan beberapa kekangan kepada sekolah. Namun, penjarakan fizikal adalah digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.
Radzi berkata imbasan kod QR MySejahtera juga tidak diwajibkan apabila memasuki premis institusi pendidikan.

Mengenai kehadiran murid, guru, pegawai pengurusan dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) ke sekolah, beliau berkata kehadiran mereka adalah diwajibkan dan perlu melakukan ujian kendiri COVID-19 sekiranya bergejala.

Bagi pengurusan murid bergejala dan positif COVID-19, Radzi berkata murid berkenaan perlu diasingkan di bilik isolasi terlebih dahulu.

“Murid itu perlu menjalani ujian kendiri dan sekiranya didapati negati, murid boleh mengikuti pembelajaran dengan memakai pelitup muka dan sekiranya positif, guru perlu menghubungi ibu bapa bagi tindakan seterusnya,” katanya.

Radzi berkata pelajar juga diwajibkan memakai pakaian seragam bermula 12 Jun depan selain mematuhi garis panduan potongan rambut ke sekolah.

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini memberi kelonggaran kepada para pelajar untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah, sebaliknya memadai dengan berpakaian sopan dan kemas.

Selain itu, katanya seluruh warga institusi pendidikan dibenarkan makan di kantin atau kafeteria sekolah.

“Bagi sekolah di kawasan kantin yang agak terhad ruangnya, sekolah dibenarkan untuk menyusun waktu rehat secara berperingkat,” katanya.

Bagi aktiviti sukan dan kokurikulum pula, beliau berkata semua aktiviti termasuk penganjuran pertandingan dan kejohanan di dalam dan luar sekolah adalah dibenarkan namun mereka yang bergejala adalah tidak dibenarkan menyertai aktiviti itu.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan surau dan masjid, beliau berkata solat boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

“Jemaah luar dibenarkan solat Jumaat dalam kawasan institusi pendidikan dan murid asrama dibenar menunaikan solat Jumaat di luar kawasan institusi pendidikan,” katanya.

Turut dibenarkan adalah keberadaan pihak luar termasuk orang kenamaan dalam premis institusi pendidikan tertakluk kepada pekeliling yang berkuat kuasa sebelum ini.

Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dibenarkan memasuki premis institusi pendidikan untuk melaksanakan mesyuarat atau program yang dirancang bersama pihak sekolah, katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.