Pekerja balak bakar kereta peronda polis ditahan

Gambar hiasan

KUANTAN—Seorang pekerja balak warga Indonesia yang dipercayai membakar kereta peronda polis ketika mengamuk di Kampung Selengkong Nenasi, Pekan, semalam telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan berhampiran lokasi kejadian pada 4.20 petang tadi dan polis turut merampas sebatang tukul dan sebatang kayu daripada suspek.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk pemohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi sebelum ini dilaporkan berkata sebuah kereta peronda polis jenis Proton Waja terbakar angkara tindakan seorang pekerja balak yang mengamuk dalam kejadian sekitar 11 malam semalam.

Polis sebelum itu menerima panggilan daripada penjaga tanah matau balak berhubung seorang lelaki sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi, sebelum tiga anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

Suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis tersebut dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post