Naib Presiden PRS, John Sikie intai jawatan Presiden


SARIKEI-- Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk John Sikie Tayai mengumumkan beliau akan bertanding jawatan presiden parti itu yang telah kosong berikutan pemergian mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing pada 31 Oktober tahun lalu.

Memetik laporan The Borneo Post, Sikei yang juga Menteri di Jabatan Premier berkata perkara ini selepas merasmikan Program Santai Komuniti Bersama Pemimpin di Rumah Tayan, Tanjung Lengain, Sungai Lepong, Jalan Byong Ulu Sarikei semalam.

 
Persidangan Delegasi Tritahunan (TDC) parti itu yang mana presiden baharu akan melalui pemilihan atau dipilih dijadualkan berlangsung di Kingwood Hotel, Sibu pada 23 dan 24 April ini.

Pengumuman Sikei itu sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini Majlis Tertinggi PRS merancang untuk memilih Timbalan Presiden Datuk Joseph Salang Gandum mengambil alih jawatan tersebut tanpa ada pertandingan bagi menunjukkan semangat perpaduan dalam parti.

"Saya fikir Majlis Tertinggi parti telah memutuskan bahawa tiada pertandingan bagi merebut jawatan Presiden," kata Setiausaha Agung PRS, Datuk Janang Bungsu ketika ditanya media tentang khabar angin empat calon mengintai jawatan tersebut pada pertengahan Februari lalu.

Sikei berkata, keputusan untuk bertanding jawatan Presiden Parti adalah permintaan daripada pemimpin di akar umbi PRS dan beberapa wakil rakyat yang dipilih.

Tambahnya, mereka telah meminta beliau untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu kerana beliau telah dilantik menteri penuh oleh Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Saya menerima permintaan pemimpin-pemimpin di akar umbi termasuk beberapa wakil rakyat yang telah dipilih untuk bertanding jawatan tersebut bukannya saya menawarkan diri saya sendiri untuk jawatan berkenaan," tegasnya.

Tambahnya lagi, beliau juga layak bertanding untuk jawatan itu mengikut perlembagaan parti yang memerlukan pengesahan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 34 cawangan parti yang berdaftar.

Pada majlis itu Sikie mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM20, 000 untuk pembangunan rumah panjang dan dana jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).
Next Post Previous Post