Merusuh gara-gara tidak mahu bahagi untung perniagaan

Keadaan premis kedai makan di Jalan Matang selepas rusuhan

KUCHING—Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes merusuh di sebuah premis kedai makan di Jalan Matang, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian jam 11 malam itu dipercayai berpunca akibat tidak mahu membahagikan keuntungan perniagaan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati.

Beliau berkata, sebelum kejadian berlaku pengadu, seorang lelaki berumur 18 tahun sedang duduk di hadapan kedai makan bersama rakan yang lain telah diserang oleh sekumpulan individu lelaki seramai lebih kurang 10 orang menggunakan senjata tajam. 

Suspek rusuhan ditahan bagi membantu siasatan

“Akibatnya, rakan pengadu berumur 27 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan kepala telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

“Sejurus mendapat maklumat, polis terus bertindak di lokasi kejadian dan menahan sembilan lelaki berusia antara 26 hingga 43 tahun untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, rusuhan itu menyebabkan dua suspek berumur 30 tahun dan 43 tahun turut mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di hosptal yang sama.

Selain tangkapan, katanya, polis turut merampas beberapa senjata tajam yang ditemui di tempat kejadian.

"Permohonan reman akan dimohon bagi melengkapkan kertas siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Suspek rusuhan ditahan bagi membantu siasatan

Beliau menambah, polis masih mengesan suspek lain yang terbabit dalam kes rusuhan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233," tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Zainal berkata kes ini tidak melibatkan mana-mana kumpulan tertentu mahu pun hutang judi seperti mana yang tular di media sosial.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi untuk mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat selain boleh menganggu siasatan.
Next Post Previous Post