Lelaki pukul warga emas bantu mangsa kemalangan maut ditahan


KUCHING-- Perbuatan seorang lelaki memukul orang yang membantu mangsa kemalangan dalam insiden di Jalan Astana semalam membawa padah apabila dia ditangkap polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah yang mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 42 tahun ditangkap sekitar jam 11.30 pagi Khamis oleh sepasukan polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching di Kampung Astana Lot.

Jelasnya, tangkapan itu berikutan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa yang cedera akibat dipukul suspek ketika membantu mangsa kemalangan di Jalan Astana.

"Satu video berdurasi 20 saat yang dimuat naik ke laman media sosial Facebook memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan akibat dipukul menjadi tular

"Lokasi kejadian merupakan lokasi kemalangan maut yang melibatkan sebuah lori jenis Hino dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Punca kejadian disebabkan oleh salah faham di mana semasa kejadian mangsa yang cuba memberi bantuan kecemasan awal kepada penunggang motosikal telah disalah anggap oleh suspek sebagai pemandu lori terbabit dan dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebatang kayu rotan," katanya dalam kenyataan yang diterima Borneo Network.

Rentetan daripada kejadian pukul tersebut, Ahsmon berkata, waris kepada mangsa telah tampil untuk membuat satu laporan polis memandangkan mangsa telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bertindak atas maklumat, dedahnya, suspek berjaya ditangkap bertempat di Kampung Astana Lot.

Tegasnya, polis turut merampas senjata yang digunakan oleh suspek semasa kejadian iaitu sebatang kayu rotan di kawasan semak berhampiran.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan," ujarnya.

Selain itu, Ahsmon memberitahu, satu kertas siasatan trafik turut dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan
1987.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada esok hari (22 April 2022) jam 9.00 pagi di Mahkamah Majistret Kuching," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar masyarakat setempat tidak mengambil
tindakan sendiri di luar batas undang-undang termasuk mencederakan orang lain yang mana akan mendatangkan kesan negatif kepada individu tersebut.
Next Post Previous Post