Kru bot jatuh laut dikhuatiri lemas, empat selamat dalam insiden berasingan


KUCHING-- Seorang kru bot dikhuatiri lemas selepas terjatuh laut di sekitar perairan Pulau Burong, Sebuyau yang berlaku semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 12.05 tengah hari semalam bagi mengesan Francis Anak Awi, 39, lelaki Iban warga tempatan. 


"Pakaian terakhir mangsa baju kelabu lengan panjang dan seluar panjang kelabu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, Pusat Operasi Maritim Sarawak telah menerima panggilan pada jam 12.00 tengah hari dari pengadu menyatakan seorang kru bot nelayan disyaki jatuh laut di perairan Pulau Burong pada jam 6.30 pagi semalam.

"Sejurus menerima laporan tersebut, MRSC Kuching telah mengatur gerakkan Bot KILAT 22 ke lokasi kejadian.

"Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) ditubuhkan di Jeti Awam Sebuyau dan MRSC Kuching turut memaklumkan insiden kejadian kepada agensi sahabat serta  menyalurkan maklumat kepada persatuan nelayan berhampiran," ujarnya. 

Dalam pada itu, Zin Azman memberitahu, sekitar jam 12.50 tengah hari yang sama, satu lagi kejadian melibatkan bot nelayan dikhuatiri tenggelam bersama empat orang kru di perairan Tanjung Po, Kuching.

Jelasnya, MRSC Kuching menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 sekitar jam 12.50 tengah hari semalam dan menurut pengadu, kesemua mangsa memakai jaket keselamatan.


"Sejurus menerima panggilan tersebut, MRSC Kuching telah mengaktifkan OP CARILAMAT dan  aset Maritim Malaysia KILAT 22 telah diatur gerakkan ke lokasi.

"Kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan dan terus dibawa ke Kampung Geobilt, Kuching," katanya lagi.

Berikutan itu, beliau berkata, OP CARILAMAT bagi bot tenggelam di Tanjung PO telah ditamatkan pada 2.45 petang semalam.

"Manakala pencarian bagi mencari dan menyelamat seorang kru disyaki jatuh laut di perairan Pulau Burong, lebih kurang 10 batu nautika dari Sebuyau, diteruskan dan memasuki hari kedua," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar pastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk. 

 
"Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan," tegasnya.

Menurutnya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian  082-432544 atau MERS 999.
Next Post Previous Post