KPDNHEP Limbang kesan dua kesalahan dalam Ops Pantau

Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Limbang sedang melakukan pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan sekitar Limbang

LIMBANG— Tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan yang ditetapkan dan alat timbang sukat telah tamat tempoh merupakan dua kesalahan yang dikesan semasa Ops Pantau 2022 di Limbang baru-baru ini.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Limbang, Pulnama Tarah berkata, kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dan Akta Timbang Sukat itu direkodkan sepanjang oeprasi bermula 1 April hingga Khamis lalu.

“Sebanyak 263 premis perniagaan termasuk 129 peniaga di Bazar Ramadan Limbang turut diperiksa dalam Ops Pantau 2022 dalam tempoh sama,”katanya dalam kenyataan semalam.


Pulnama berkata Ops Pantau 2022 diadakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah, tiada unsur pencatutan dan patuh skim kawalan harga ditetapkan.

“Bekalan dan harga barang merupakan perhatian utama pengguna dengan kedatangan Ramadan dan Syawal.

“Oleh itu KPDNHEP Bahagian Limbang akan mempertingkatkan penguatkuasaan Ops Pantau 2022 sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini bagi memastikan pengguna dilindungi dan kementerian serius menjaga kebajikan pengguna,”kata beliau.

Pemeriksaan menyeluruh jelasnya dijalankan ke atas rantaian pembekalan barang kawalan, barang keperluan, barangan basah serta barangan kuih muih ke atas lokasi sasaran dan tumpuan orang ramai seperti Bazar Ramadan, pasar raya, pasar awam, pasar basah, tamu khamis jumaat termasuk penjualan atas talian.

“Pemantauan dan penguatkuasaan bersasar serta seragam sangat perlu ketika negara ini memasuki fasa peralihan ke endemik termasuk pematuhan dari segi prosedur operasi standard (SOP) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),”katanya lagi.

Tegasnya tumpuan juga diberikan kepada bekalan, harga, jualan murah, alat timbangan, barangan tiruan/cetak rompak, halal, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri dan penjualan barang keperluan/kegunaan hari raya aidilfitri.

Kementerian katanya turut mewujudkan nombor telefon aduan tambahan hasil kerjasama dengan syarikat telekomunikasi Celcom bagi menangani aduan pengguna dengan lebih mudah, pantas dan efisien.

“Sebarang maklumat berhubung salah laku oleh peniaga boleh menyalurkan aduan lengkap kepada kementerian melalui WhatsApp 019 – 279 4317/ 019 – 848 8000, Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) atau lapor/hadir ke pejabat KPDNHEP di Limbang (085 – 217414) & Lawas (085 – 283650),”ujar beliau lagi.
Next Post Previous Post