Kes rusuh di Matang diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh

Foto mendiang Goh

KUCHING—Polis mengklasifikasikan semula kes rusuhan yang berlaku di sebuah kedai di Matang baru-baru ini kepada kes bunuh selepas seorang daripada mangsa yang cedera meninggal dunia.

Mangsa yang dikenali sebagai Goh, 30 tahun meninggal dunia akibat kecederaan sekitar jam 10 malam Isnin semasa dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak sebelum ini cedera parah akibat diserang sekumpulan lelaki di sebuah kedai makan di Matang pada 16 April lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan bahawa kes itu telah diklasifikasikan semula kepada kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukuman mati mandatori.

Sebelum ini, kes tersebut diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Goh bersama seorang lagi mangsa lelaki berusia 40-an cedera dalam insiden tersebut yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati tentang pengagihan hasil perniagaan.

Setakat ini seramai 16 suspek berusia antara 19 hingga 45 tahun ditangkap dan direman.

Abang Zainal berkata, polis meminta saksi kejadian itu tampil ke depan bagi membantu siasatan kes ini.
Next Post Previous Post