Jirat dijarah kerana laporan tidak diambil tindakan, Tiong

Jirat Cina di Jalan Bukit Aup yang telah diselongkar dan keranda dibakar. Gambar arkib

SIBU—Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing hari ini mendakwa kejadian penjarahan jirat Cina di Jalan Bukit Aup di sini baru-baru ini adalah berikutan tiadanya tindakan ke atas laporan yang dibuat orang ramai.

Menurut beliau, kejadian sebelum ini dikesan pada akhir bulan lalu apabila sebuah jirat telah diselongkar dan keranda dibakar.

“Waris telah pun membuat laporan polis namun pegawai terbabit tidak mengambil tindakan yang wajar dengan serta-merta.

“Melihat tiada tindakan diambil, pelaku terdorong untuk mengulangi perbuatan mereka dan kali ini tujuh jirat telah dimusnahkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menggesa supaya Ketua Polis Daerah Sibu yang baharu kelak untuk meneliti dan menghentikan perkara terkutuk itu kerana jika ia dibiarkan berlaku, pelaku akan menjadi bertambah berani dan menimbulkan lebih banyak masalah sosial.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menggesa supaya pihak berkuasa untuk segera bertindak demi mengembalikan ketenangan hidup kepada waris yang terlibat.

Jawatan ketua polis daerah Sibu yang kosong selepas persaraan ACP Stanley Jonathan Ringgit sejak beberapa bulan lalu dipangku oleh Supt Dr Collin Babat.

Pada Ahad lalu waris-waris yang melawat tanah perkuburan di Jalan Bukit Aup sempena perayaan Qing Ming mendapati tujuh jirat telah dijarah dan keranda dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

Tulang belulang di jirat-jirat yang terlibat turut dilarikan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post