Cubaan Seleweng 1, 600 Liter Diesel dan Minyak Petrol Berjaya Dipatahkan
Gambar Polis Marin |
MIRI: Cubaan seorang lelaki berusia 40 tahun menyeleweng 1, 600 liter diesel dan minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM3, 420 berjaya dipatahkan sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Miri, pagi semalam.
Komander PPMW5 Sarawak, ACP Zulfikar Mohd Ghazali dalam kenyataannya berkata, hasil risikan dijalankan, seramai 4 anggota URM menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di sebuah kawasan parkir kenderaan di Taman Tunku pada jam 11 pagi.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas bahagian belakang kenderaan terbabit telah menjumpai 8 tong warna biru yang mengandungi berisi minyak petrol dan diesel," jelas Zulfikar.
Hasil semakan yang dijalankan mendapati pemilik kenderaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa atau memiliki bahan bakar itu dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri.
Orang yang disyaki (OYDS) kemudiannya ditahan manakala barangan yang dirampas turut dirampas turut dibawa ke PPMT Miri untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.