Abang Johari serah Sumbangsih Kuih Raya kepada petugas barisan hadapan

Abang Johari (kiri) menyampaikan Sumbangsih Kuih Raya kepada Polis DiRaja Malaysia. Gambar kredit Fb Sarawakku

KUCHING— Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangsih Kuih Raya 2022 yang bertempat di Wisma Bapa Malaysia pagi ini tadi.

Sumbangsih Raya 2022 merupakan satu tanda tulus ikhlas Kerajaan Sarawak kepada anggota-anggota keselamatan dan pertahanan yang akan bertugas pada Hari Raya Aidil Fitri kelak.

Majlis simbolik penyerahan disempurnakan oleh Premier Sarawak dengan menyerahkannya kepada wakil setiap agensi yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDTM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sejumlah 11,500 kotak sumbangsih Raya diagihkan bagi menghargai jasa dan bakti agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat dalam menggalas tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara, dan keamanan negara. 

Abang Johari bersama dif kenamaan lain bergambar bersama petugas barisan hadapan selepas majlis penyerahan Sumbangsih Kuih Raya di Wisma Bapa Malaysia hari ini. Gambar kredit Fb Sarawakku

Hadir sama di majlis ringkas pagi ini adalah Timbalan Premier Sarawak Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, YB Dato' Sri Hajah Fatimah Abdullah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Abu Bakar Marzuki.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, Abang Johari turut menasihatkan rakyat Sarawak agar tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata pematuhan itu penting terutamanya ketika negara kini sedang memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

“Kita sudah masuk fasa peralihan endemik dan kini ada sedikit kelonggaran SOP seperti di bazar Ramadan yang kita lihat ramai orang pergi.

“Dalam kelonggaran SOP ini, saya nasihatkan supaya kita kekal jaga SOP dan kesihatan kita,” katanya.

Semalam, Sarawak mencatatkan 413 kes baharu COVID-19 dengan lima kematian direkodkan.
Next Post Previous Post