Bot terbalik di Kuala Batang Lupar, seorang masih hilang

Anggota bomba di bergegas ke lokasi mencari mangsa

SEBUYAU—Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang dinaikinya bersama seorang rakan berlanggar dengan kapal muatan pasir di Sungai Rama, Kuala Batang Lupar di sini semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 12 tengah hari, hari ini.

Katanya, setelah menerima laporan anggota bomba yang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki hilang di Pulau Burong terus bergerak ke lokasi untuk mencarri mangsa dikenali sebagai Isa Uja, 35 tahun.


"Pencarian SAR hari pertama tertumpu di lokasi kejadian dalam lingkungan radius lebih kurang lima kilometer dan lokasi sebenar kejadian adalah di perairan kawasan Kuala Batang Lupar.

“Operasi SAR dibantu oleh agensi lain dan penduduk kampung dengan bot persendirian," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan polis, mangsa semasa kejadian bersama rakannya dalam perjalanan balik ke Sebuyau selepas menangkap ikan di laut berhampiran kawasan Sungai Rama.

"Secara tiba-tiba bot fiber yang dinaiki mangsa dan rakan mangsa terlanggar sebuah kapal dengan muatan pasir menyebabkan bot fiber tersebut terbalik.

"Rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tali kapal pasir manakala mangsa hilang. Usaha mencari telah dilakukan oleh rakan mangsa namun mangsa masih gagal dijumpai," katanya.

Katanya, rakan mangsa kemudian tampil ke Balai Polis Sebuyau untuk membuat laporan dan mohon bantuan untuk mencari mangsa.
Next Post Previous Post