Tun Taib angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak penggal ketiga

Tun Taib (tiga tengah) mengangkat sumpah pelantikan sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING—Tun Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak untuk penggal ketiga dalam satu upacara di Dewan Lapau Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau diiringi isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dalam upacara yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang serta beberapa orang menteri kabinet negeri.

Majlis itu dimulakan dengan Abang Johari membacakan surat cara pelantikan Abdul Taib sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Tun Taib (duduk) menandatangani Surat Sumpah. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak

Abdul Taib, 86, kemudiannya mengangkat sumpah pelantikan dan seterusnya menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak untuk kali pertama pada 1 Mac 2014 untuk tempoh sehingga 28 Feb 2018, Abdul Taib dilantik untuk kali kedua ke jawatan itu untuk tempoh 1 Mac 2018 sehingga 28 Feb 2022.

Beliau pernah memegang jawatan ketua menteri selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya'kub.

Abang Johari (dua kiri) membacakan Surat Cara Pelantikan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak

Anak sulung daripada 10 beradik kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub itu dilahirkan pada 21 Mei 1936.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.

Anak jati Bumi Kenyalang itu menceburi politik pada tahun 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post