Tiga calon SPM SMK St Joseph Kuching positif COVID-19


KUCHING: Tiga pelajar yang merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph Kuching tidak dapat hadir ekoran dikesan positif jangkitan COVID-19.

Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Norisah Suhaili berkata manakala 219 calon menduduki peperiksaan itu di sekolah berkenaan hari ini.

"Kita memang tidak benarkan mereka yang positif untuk datang menduduki peperiksaan.

"Namun, mereka yang positif diberi peluang untuk menduduki semula kertas ini iaitu pada bulan April nanti. Set soalan berbeza, format tetap sama," katanya pada pemberita selepas lawatan Peperiksaan Bertulis SPM 2021 di SMK St Joseph Kuching di sini, hari ini.


Tambahnya, pelajar yang tidak hadir kerana positif COVID-19 atau kontak rapat atau kuarantin, mereka akan diberi peluang menduduki peperiksaan SPM yang dijangka pada April nanti.

Mengambil contoh semasa Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 9 dan 10 Februari, Norisah berkata, seramai 72 calon atau 0.2 peratus dari 24 pusat di Sarawak yang sepatutnya menduduki ujian bertutur tidak dapat menduduki ujian itu ekoran terjejas COVID-19.

Bagi Ujian Mendengar Bahasa Melayu 21 Februari, jelasnya, 0.8 peratus daripada 36,108 calon mendaftar tidak hadir kerana terjejas COVID-19.

"Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada 21 Februari 2022, juga 0.8 peratus calon tidak hadir tidak hadir atas sebab yang sama," ujarnya.

Tambahnya, Ujian Amali Fizik pada 15 Februari pula menyaksikan 33 orang atau 0.5 peratus calon tidak hadir daripada 6,376 mendaftar akibat COVID-19.

"Manakala Ujian Amali Kimia pada hari yang sama menyaksikan 34 orang atau 0.5 peratus daripada 6,626 calon mendaftar tidak dapat hadir menduduki peperiksaan kerana COVID-19.

"Jumlah calon yang tidak hadir ini berbeza antara satu sama lain namun, apa yang penting kesemua mereka akan diberi peluang menduduki peperiksaan nanti iaitu pada April," tegasnya. 


Mengenai jumlah keseluruhan calon SPM yang mendaftar di Sarawak, beliau memberitahu seramai 36,385 calon menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini hingga 29 Mac 2022

"Daripada jumlah itu, 93.83 peratus calon SMK, 2.58 calon sekolah swasta, 0.87 calon sekolah di bawah agensi lain, 0.07 peratus sekolah agama rakyat dan bakinya 2.6 peratus calon persendirian.

"Sebanyak 257 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak iaitu 189 pusat sekolah menengah kebangsaan, enam pusat di sekolah agensi lain, 13 pusat di sekolah swasta, satu pusat sekolah agama rakyat dan 48 pusat persendirian," jelasnya.

Katanya lagi, seramai 209 penyelia ditempatkan di pusat-pusat peperiksaan itu melibatkan 3,400 pengawas.

"Kita minta seperti pengalaman daripada tahun lepas dan calon-calon mesti mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Garis Panduan (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita nak pastikan calon, guru dan pengawas berada dalam keadaan selamat dan terkawal sepanjang tempoh peperiksaan ini dijalankan," ujarnya.
Next Post Previous Post