Sempadan Sungai Tujuh Miri sunyi sepi


MIRI— Pelawat yang kerap berkunjung ke Miri melalui Pos Kawalan Sempadan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Sarawak Sungai Tujuh di sini pastinya merindui untuk membeli-belah, melawat pusat peranginan sambil menikmati keenakan juadah tempatan di sini.

Beberapa tahun lalu, dianggarkan tiga juta kenderaan tempatan dan pelancong dari Brunei melalui pos imigresen itu dengan kira-kira 300,000 setiap bulan dan 1,000 setiap hari.

Miri bukan hanya menjadi tumpuan pengunjung dari Brunei, malah penduduk dari utara Borneo seperti Limbang, Lawas sejauh Sabah datang ke sini. Suasana begitu meriah terutama pada waktu cuti sekolah, cuti umum dan musim perayaan.


Namun sejak COVID-19 membadai, keadaan berubah menjadi senyap sepi. Tiada lagi kenderaan berbaris di sempadan, pusat beli-belah lenggang malah beberapa tempat menjamu selera yang sebelum ini dipenuhi pelanggan terpaksa gulung tikar.

Kawasan yang dulunya sibuk dan sesak dengan kehadiran kenderaan dari kedua-dua buah negara keluar masuk di pintu sempadan ini ,berubah wajah sejak kerajaan mengenakan larangan kemasukan bermula Mac 2020 bagi menangani pandemik COVID-19.

Tinjauan Borneo Network hari ini mendapati, kawasan pintu masuk lenggang dan hanya kelihatan sekali sekala kehadiran kenderaan berat yang membawa muatan dagangan maauk ke Miri dari Negara Brunei Darulsalam.


Pada masa ini, difahamkan hanya kenderaan komersial yang membawa stok makanan atau barangan dagangan dibenarkan merentas kedua-dua negara.

Kini rakyat dari Brunei dan Malaysia sememangnya ternanti-nanti untuk pintu sempadan dibuka secara rasmi, terutama rakyat di daerah Limbang dan Lawas.

Limbang dan Lawas terpisah oleh Temburong di Brunei, manakala Limbang dan Miri terpisah oleh tanah besar Brunei.


Pada 15 Februari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa dalam kunjungannya ke Negara Brunei telah menyatakan bahawa secara dasar, Malaysia dan Brunei bersetuju untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi pergerakaan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Dua hari lalu, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia akan membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April.

Diharapkan pembukaan sempadan ini membawa sinar baharu kepada penduduk khususnya di utara Sarawak seperti Miri, Limbang dan Lawas yang bergantung dengan laluan Brunei memandangkan ia lebih fleksibel dan murah berbanding pengangkutan udara.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.