Kes kanak-kanak hilang: Empat suspek miliki 17 rekod lampau, positif dadah

Gambar hiasan

KUCHING: Perkembangan kes kehilangan kanak-kanak berusia empat tahun di Bintawa, empat individu yang ditangkap diuji positif dadah dan miliki 17 rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, empat tangkapan iaitu dua lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 24 tahun hingga 49 tahun bagi membantu siasatan.

"Hasil semakan rekod lampau kesemua suspek mempunyai jumlah 17 rekod jenayah iaitu 14 kesalahan dadah, dua jenayah harta benda dan dua jenayah komersial.

"Keputusan ujian saringan air kencing
mendapati kesemua suspek adalah positif dadah jenis syabu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes kanak-kanak empat tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Jelas Ahsmon, satu kertas siasatan orang hilang dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak
2001.

"Siasatan terhadap aspek kecuaian dan pengabaian terhadap penjaga kanak-kanak
terbabit," tegasnya.

Menurutnya lagi, kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman.

"Soal siasat lanjut akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

"Dalam masa yang sama, polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memperluaskan usaha pencarian," ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai untuk tampil memberi kerjasama jika mempunyai maklumat berkenaan kanak-kanak tersebut di balai-balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hasmah Abdul Jalil di talian 013-6852210.

Sebelum ini, kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang pada 7 Mac 2022 dan kejadian tersebut berlaku di sebuah taman perumahan di Jalan Daya, Bintawa.
Next Post Previous Post