Rumah terbakar, anak kandung positif dadah dicekup polis


KUCHING: "Suspek pada awalnya sedang menghisap rokok sambil membakar longgokan sampah di tepi rumah," dedah saksi kes kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat di Jalan Astana yang berlaku pada 29 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek ditangkap pada jam 8 malam pada 29 Mac oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gita kerana disyaki telah mengakibatkan kebakaran rumah milik bapa suspek.

"Suspek merupakan anak kandung kepada pemilik rumah tersebut telah ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahsmon, terdapat saksi yang melihat kejadian itu memaklumkan suspek sebelum kejadian dilihat sedang merokok sambil membakar sampah di tepi rumah tersebut.

Bagaimanapun, katanya api kemudiannya marak lalu menyambar dinding papan rumah tersebut.

"Menurut saksi juga, suspek hanya berdiam diri dan tidak cuba memadamkan api tersebut sehinggalah orang kampung datang," katanya.

Kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba.

Selain itu, Ahsmon mendedahkan hasil pemeriksaan air kencing suspek didapati positif dadah jenis "Amp" dan suspek telah ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu kebakaran tersebut hanya melibatkan harta benda dan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dalam insiden tersebut. kerugian dianggarkan lebih kurang RM500, 000.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda," tegasnya.
Next Post Previous Post