Rekahan tanah dikesan di Bukit Kanada

Gambar kredit FB Adam Yii

MIRI– Rekahan dikesan di permukaan cerun Bukit Kanada yang berisiko menyebabkan berlakunya bencana tanah runtuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting dan pakar geologis bersara, Rick Carter, warganegara British yang menetap di Miri.

Gambar kredit FB Adam Yii

“Rick yang merupakan pendaki aktif telah pergi ke Bukit Kanada pada 1 Mac dan mendapati permukaan cerun di Bukit Kanada tidak stabil dan berdepan risiko tanah runtuh.

“Keadaan ini diburukkan dengan hujan berterusan sejak beberapa minggu yang lalu,” kata Yii menerusi hantaran di Facebook semalam.

Beliau yang turut meninjau kawasan rekahan itu memberitahu sudah menghubungi Sarawak Geological Survey untuk meminta nasihat tindakan selanjutnya.

Gambar kredit FB Adam Yii

“Saya sudah menghubungi mereka dan dimaklumkan pasukan itu akan bertolak dari Kuching menggunakan jalan darat keesokan hari. Mereka dijangka akan membuat kajian pada Isnin depan,” katanya.

Yii yang juga Datuk Bandar Miri berterima kasih kepada Sarawak Geological Survey yang bertindak pantas berhubung perkara itu.

Setakat ini, jurutera Majlis Bandaraya Miri akan menutup rekahan permukaan cerun bagi melindungi daripada hujan yang boleh memburukkan keadaan menyebabkan runtuhan.
Next Post Previous Post