Pusat Khidmat DUN Pelawan tawar angpau untuk pasangan pengantin, bayi

Gambar kredit Pusat Khidmat DUN Pelawan

SIBU, 11 Mac (Bernama) -- Pusat Khidmat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan menawarkan angpau sebanyak RM500 buat pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga di kawasan DUN itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee berkata syarat bagi permohonan angpau itu ialah seorang daripada pasangan itu hendaklah pengundi berdaftar di kawasan Pelawan.

“Angpau ini adalah sebagai ucapan tahniah daripada pusat khidmat ini dan juga bagi menggalakkan pasangan muda berkahwin,” kata Tiang yang juga ADUN Pelawan.


Selain itu, pasangan yang seorang daripada mereka merupakan pengundi di Pelawan juga boleh memohon angpau berjumlah RM300 untuk bayi yang baru dilahirkan.

Pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka dan bayi yang dilahirkan sejak Januari tahun ini layak memohon angpau tersebut.
 
Pemberian angpau itu adalah projek komuniti bersempena dengan pembukaan rasmi Pusat Khidmat SUPP DUN Pelawan yang terletak di No. 20, Tingkat 1, Lorong Sungai Merah 2F, Sibu hari ini.

Pusat itu dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat dan pada Sabtu beroperasi sehingga 12 tengah hari.

Ia ditutup pada hari minggu dan hari kelepasan am.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post