Projek SSLR Fasa 2 dan LTB dapat kelulusan secara prinsip-Fadillah


KUALA LUMPUR—Cadangan pelaksanaan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dan Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) telah mendapat kelulusan secara prinsip berdasarkan Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2022.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dengan pelaksanaan Fasa 2 SSLR Fasa 2 dan Projek LTB, ia akan menambahbaikkan jaringan jalan raya di Sarawak dan melengkapkan jaringan jalan raya ke Sabah dan negara Brunei Darussalam.

Malah, katanya ia juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan, pemangkin pembangunan sosioekonomi dan menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat bagi penduduk di Sarawak khususnya.

"Selain itu, kementerian juga mengambil maklum dan sedang menyusun strategi pembangunan rangkaian jalan raya terkini susulan pengesahan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.

"Salah satu daripada projek yang dikenal pasti adalah Projek LTB jajaran Kalabakan-Serudung yang merupakan sebahagian daripada jajaran LTB," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja 2022 Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menambah, kementeriannya juga akan meneliti cadangan projek LTB jajaran Kalabakan-Serudung ini.

"Kementerian akan mempertimbangkan untuk diangkat kepada Agensi Pusat di dalam Rolling Plan yang akan datang, tertakluk kepada keutamaan projek dan ketersediaan siling peruntukan pembangunan Kementerian ini.

"Ini selaras dengan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menekankan aspek pembangunan wilayah dan pertumbuhan ekonomi yang seimbang antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, pembangunan infrastruktur terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo, SSLR dan LTB menjadi keutamaan dan perhatian Kerajaan Persekutuan," tegasnya.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu memberitahu, komitmen ini ditegaskan sekali lagi oleh YAB Perdana Menteri pada 4 Mac 2022 semasa mengumumkan Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek-projek Kerajaan yang akan dilaksanakan dan diteruskan bagi tempoh 5 ke 10 tahun yang akan datang.

Berhubung perkara yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Sibuti, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ahli Parlimen Kalabakan dan Ahli Parlimen Selangau agar projek LTB dan SSLR dapat dipercepatkan dan berjalan lancar, Fadillah berkata, Projek SSLR (Lawas ke Persimpangan Long Lopeng) kini dalam pembinaan.

"Bagi cadangan pelaksanaan Projek SSLR Fasa 2, ia melibatkan tiga pakej iaitu Pakej 1 sepanjang 137 kilometer (KM), Pakej 2 sepanjang 98KM dan Pakej 3 sepanjang 91KM.

"Jumlah keseluruhan yang dianggarkan adalah sepanjang 326km," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi cadangan pembinaan projek LTB pula melibatkan melibatkan tiga seksyen iaitu Seksyen Miri sepanjang 4.95KM; Seksyen Limbang sepanjang 57.30KM; dan Seksyen Lawas sepanjang 34.10KM.

"Jumlah keseluruhan jajaran yang terlibat adalah sepanjang lebih kurang 96.35KM," ujarnya.
Next Post Previous Post