Pemilik kembalikan ungka kepada SFC

Ungka diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke Taman Tumbina Bintulu. Gambar kredit SFC

BINTULU—Seorang penduduk tempatan menyerahkan seekor ungka (Borneon Gibbon) yang dipeliharanya kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) hari ini selepas menyedari ia adalah spesies haiwan terlindung.

Menurut beliau, ungka tersebut dijumpai lima tahun lepas semasa haiwan itu masih kecil dan dalam keadaan separuh sedar, namun tiada kecederaan dikesan.

“Kemungkinan binatang tersebut terlepas dari kawalan ibunya.

“Atas keprihatinan serta sayangkan binatang, saya telah mengambil dan menjadikannya haiwan peliharaan,” katanya.


Namun selepas mendapat maklumat daripada kakitangan SFC yang menghantar dan mengagihkan poster dan brosur yang berkaitan dengan haiwan terlindung dan terlindung sepenuhnya di negeri ini, beliau bertindak menghubungi SFC bagi mengambil haiwan terbabit untuk tindakan lanjut.

Di Sarawak, ungka merupakan salah satu haiwan terlindung sepenuhnya di negeri ini dan perbuatan memelihara atau menyimpannya boleh dikenakan tindakan di bawah Ordinan Hidupan Liar 1998.

SFC kemudian bertindak menyerahkan haiwan tersebut kepada pegawai penguasa Taman Tumbina Bintulu pada jam 10.50 pagi semalam.
Next Post Previous Post