Pintu sempadan belum buka tetapi 'Mereka' sudah berkunjung

Empat individu ditahan kerana masuk ke Sarawak tanpa dokumen di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin. Gambar kredit Markas 1 Divisyen

BAU—Belum lagi pembukaan sempadan negara yang bermula 1 April ini, batas Sarawak cuba dibolosi empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berlaku di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan hari ini berkata, hasil maklumat perisikan, satu seksyen diaturgerakkan bagi membuat rondaan di
kawasan yang telah dikenal pasti menjadi laluan PATI masuk ke negara ini secara tidak sah.

"Pada jam 12.45 tengah hari, semasa petugas melakukan rondaan telah terserempak dengan empat individu yang mencurigakan di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin.

"Individu tersebut ditahan dan hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.


Tambahnya, tiada sebarang barangan terlarang yang dijumpai selain pakaian persendirian dan barangan peribadi.

Jelasnya, kesemua PATI merupakan lelaki berusia sekitar 19 hingga 32 tahun yang cuba masuk ke negara ini bagi mendapatkan pekerjaan.

"Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bau dan kesemua PATI telah diusir keluar di kawasan sempadan Malaysia - Indonesia," katanya lagi.

Dalam pada itu, Markas 1 Divisyen memberitahu, bermula pada Jan 2022 sehingga kini, Tentera Darat melalui 1 Divisyen yang beroperasi di sempadan Malaysia-Indonesia telah mengusir seramai 65 PATI dalam 27 kes tangkapan dengan nilai rampasan terkumpul berjumlah RM410,792.06.

"Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19," tegasnya.
Next Post Previous Post