Pembinaan Mawilla 4 di Bintulu dibentang pada sidang MKN

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. Gambar kredit BERNAMA

KUALA LUMPUR— Keperluan kritikal untuk mewujudkan Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu, Sarawak akan dibentang pada sidang Majlis Keselamatan Negara dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pada masa sama Kementerian Pertahanan akan mendaftar permohonan peruntukan bagi perolehan tanah di Kawasan Perindustrian Samalaju, Tanjung Borkam, Bintulu dalam Pelan Pelaksanaan ketiga 2023, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). 

“Surat permohonan bagi tapak Mawilla 4 telah dimajukan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Gajian Negeri Sarawak pada 9 Feb lepas.

“Dengan perancangan teliti, Kementerian Pertahanan menjangkakan tiada permasalah bagi projek ini dilaksanakan dalam RMK-12,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini. 

Mengenai pembinaan pangkalan operasi berkala (bare base) TUDM di Bintulu, Ikmal Hisham berkata status projek itu kini dalam prapembinaan iaitu TUDM dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya dalam proses pemurnian akhir skop kajian penyiasatan tapak projek dan proses awal konsep reka bentuk. 

“Sehingga kini, tiada permasalahan yang dihadapi dan dikenal pasti melibatkan projek itu. Projek ini akan melalui penilaian makmal pengurusan nilai bersama dengan pihak Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang akan dilaksanakan pada 6 hingga 10 Jun ini.

“Selepas makmal pengurusan nilai ini dimuktamadkan kelak, projek ini dijangka dapat ditender pada suku keempat 2022,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post